| |

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat
junjungan mulia pesuruh Allah, Nabi Muhammad s.a.w, para sahabatnya dan
setiap mereka yang menuruti jalan lurus panduannya.
Setelah dilakukan semakan dan perbincangan berkenaan plan perniagaan
yang diberikan, sekadar kemampuan kami, berikut disertakan hasil
semakan ke atas pelan pemasaran Stormreaders Network Sdn Bhd:-
1. Apakah barang
yang menjadi teras bisnes dan jualan?
Jawabnya ia adalah kumpulan buku-buku agama dan media terbitan Telaga
Biru Sdn. Bhd. Justeru tiada keraguan pada “subject matter” dalam skim
Stormreaders Network Sdn Bhd.
2. Menjadi Ahli
Keahlian Stormreaders Network boleh dimiliki dengan membayar yuran
pendaftaran sebanyak RM90 untuk:
- Kit Permulaan Perniagaan = RM30
- Kad keahlian Stormreaders = RM30 (tahunan) *Insuran
Takaful RM20,000 & Khairat Kematian RM3,000
- Kemudahan e-Store & Sistem e-Net = RM30
(tahunan)
Maka: setelah semakan, beberapa aqad telah digunakan iaitu:
- Wakalah
Muqayyadah: Iaitu pihak peserta mewakilkan sebahagian
wangnya untuk menyertai skim takaful dan juga skim khairat kematian.
- Ijarah
(Sewa): e-Store & Sistem e-Net adalah sebuah kedai
maya dan sistem maklumat pengurusan rangkaian yang disewakan kepada
peserta dengan nilai tertentu pada setiap tahun. Dikenakan pada nilai
RM30 setiap tahun. Ahli bebas sama ada untuk meneruskan sewaan atau
tidak (memperbaharui keahliannya).
- Bai
al-Mutlaq: Iaitu jual beli biasa, apabila pihak peserta
membeli Kit Permulaan Perniagaan.
Justeru, sepanjang semakan saya, tiada unsur pinjaman duit, atau
serahan duit tanpa timbal balas aset. Semua wang yang diserahkan dalam
yuran awal mempunyai aqad tersendiri di dalam Islam dan semua aqad
tersebut adalah harus dan halal.
Menggabungkan pelbagai aqad tersebut dalam satu borang juga diizinkan kerana semua aqad berdiri dengan sendirinya (Mustaqil) tanpa bertentangan di antara satu sama lain. Dalam kata lain ia bukan “Uqud Mutanaqidhah Wa Mutanafiah” yang tidak boleh digabung jalinkan.
Di peringkat ini, ahli boleh menjana pendapatan dari: 2.1. 20% Komisyen Jualan e-store peribadi
Syariah:
Wakalah Bil Ujr (wakil dengan upah): Oleh kerana barangan di dalam
e-store adalah bukan milik ahli, tetapi milik syarikat yang diniagakan
oleh ahli di dalam ‘online store’nya. Ini bermakna hubungan di antara
ahli dan syarikat dalam konteks ini adalah ‘WAKALAH BIL UJR’ Aqad ini
juga termeterai iaitu apabila setiap penjualan yang dibuat melalui
e-store peserta, pihak syarikat akan memberikan komisyen sebanyak 20%
dari semua harga terkumpul jualan. Ia juga halal dan harus serta
menepati syarat-syarat dalam aqad Wakalah Bil Ujr iaitu wakil maklum
akan jumlah komisyen yang ditawarkan syarikat.
2.2.
5% Bonus Jualan e-Store Global (GOSV) – Perkongsian daripada 5% jumlah
jualan seluruh e-Store yang terdapat di dalam rangkaian e-Store
Stormreaders Network dengan jumlah perkongsiannya mengikut tahap
pencapaian jualan e-Store peribadi.
Syariah:
Pendapatan ini halal, ia didasari oleh aqad Hibah, iaitu hadiah dari
sebelah pihak iaitu syarikat sebagai insentif galakan bagi ahli mereka.
3. Menjadi Pengedar
Ahli boleh maju kepada peringkat ‘Pengedar’ dengan membuat pembelian peribadi terkumpul yang bernilai 100 mata (RM300).
Syariah:
Tiada masalah dari sudut hukum kerana penganugerahan ini datang dari
pihak syarikat sejurus ahli mencapai tahap yang ditentukan. Oleh kerana
gelaran ini datang dengan sedikit kelebihan tambahan, ia didasari oleh
aqad Hibah. Pembelian peribadi
yang disyaratkan juga tiada bermasalah kerana ia adalah pembelian aset
sebenar (iaitu produk buku dan lain-lain), dan pembelian peribadi ini
tidak diikat dengan sebarang syarat lain yang bertentangan dengan sifat
aqad jual beli (Muqtada al-Aqd)
3.1. 5% Komisyen jualan peribadi di dalam rangkaian (direct sponsor)
Syariah: Didasari oleh aqad Hibah dari satu pihak, tiada sebarang masalah dari perspektif Syariah.
3.2. 10% Bonus ‘overriding’ e-Store tajaan peribadi (dengan syarat jualan minima e-Store peribadi mencapai RM500 setiap bulan).
Syariah: Aqad digunakan adalah Hibah Bi Syarti Iwad. Iaitu hadiah dengan syarat pencapaian satu kerja sebagai timbal.
Janji
Hibahnya berlaku adalah apabila pihak syarikat menjanjikan hadiah
bernilai 10 % dari harga jualan e-Store peserta yang berada di dalam
kumpulannya, syarat pencapaian sebagai timbalan adalah pihak syarikat
mengenakan syarat RM500 jualan sendiri pada bulan tersebut. Aqad ini
juga boleh ditakyif sebagai jualah iaitu :-
Syarikat menawarkan
10% dari nilai jualan kumpulan di bawah seseorang peserta apabila
peserta dan kumpulan di bawah berjaya mencapai satu target jualan. Aqad
seperti ini juga harus di sisi Islam.
3.3.
5% Bonus ‘overriding’ jualan kumpulan rangkaian sehingga jumlah maksima
RM4500 seminggu atau 25% daripada jumlah jualan harian kumpulan (dengan
syarat membina sekurang-kurangnya 3 kumpulan dengan 100 mata setiap
kumpulan).
Syariah:
5% ini dianugerahkan oleh pihak syarikat dengan target pencapaian
jualan dan pembinaan kumpulan. Justeru ia sekali lagi dibina atas aqad
Jualah.
3.4. 3% Bonus jualan
rangkaian global GNRSV – Perkongsian daripada 3% jumlah jualan
rangkaian global dengan jumlah perkongsian bergantung kepada tahap
pencapaian.
Syariah: 3% ini dianugerahkan oleh syarikat sebagai tambahan pendapatan ahli. Ia di dasari oleh Hibah.
4. Menjadi Pemimpin
Pengedar
dan juga ahli-ahli di dalam kumpulannya perlulah membuat JUALAN
PERIBADI bulanan minima 20 mata (RM60) masing-masing untuk terus
menikmati komisyen dan bonus rangkaian.
Syariah: Terma ini juga harus di sisi Syariah dan ia didasari oleh aqad Ju’alah
sama seperti sebelum ini. Yang mana, jualan peribadi dan ahli dijadikan
sebagai prestasi atau target yang perlu dicapai bagi membolehkan
pengedar dan ahli dalam kumpulan unutk menikmati komisyen dan bonus
rangkaian. Dalam konteks ini, komisyen dan bonus rangkaian menjadi
imbuhan Ju’alah.
Hasil prestasi jualan bulanan ini juga akan memberikan bonus tambahan kepada pengedar dan kumpulan rangkaian seperti berikut:
4.1. 5% Bonus kesetiaan kumpulan sehingga kepada tahap maksima mengikut tahap pencapaian atau pangkat.
Syariah: Ia terbina dari aqad Hibah oleh pihak syarikat kepada ahli yang dirasakan layak dan menepati kriteria tertentu.
4.2.
5% Bonus kesetiaan kumpulan global (GNMSV) – Perkongsian 5% daripada
jumlah jualan bulanan dengan jumlah perkongsian mengikut tahap
pencapaian atau pangkat).
Syariah: Ia terbina dari aqad janji HIBAH yang ditawarkan oleh pihak syarikat. Tiada masalah syariah dalam perkara ini.
4.3.
Tabung Umrah & Pelancongan (Simpanan dari Perkongsian 2% daripada
jumlah jualan bulanan dengan jumlah perkongsian mengikut tahap
pencapaian atau pangkat).
Syariah: Ia juga adalah dari jenis Hibah Mutlaqah oleh pihak syarikat.
Penyemakan dari semasa ke semasa juga akan kami jalankan demi memastikan perjalanan bisnes ini menepati hukum Islam.
Demikian
ringkasan kajian kami dan pihak kami sentiasa mengalukan komentar
membina dari pelbagai pihak lain sekiranya didapati ada perkara penting
yang terlepas dari semakan dan pemerhatian kami.
Kami juga
dengan ini tidak bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang pindaan
ke atas plan atau salahlaku mana-mana individu dari syarikat atau ahli
dalam menjalan aplikasi plan dan bisnes ini, atau apa jua perubahan
yang dilakukan di luar pengetahuan kami.
Wallahu’alam. Sekian.
Zaharuddin Abd Rahman & Zahazan Mohamed Penasihat Syariah Stormreaders Network Sdn Bhd 13 Ramadhan 1430H
|
|